Friday, July 13, 2007

BAB 5 GERUDI

GERUDI

OBJEKTIF AM

Dapat mengetahui jenis-jenis mata gerudi dan berkebolehan mengendalikan mesin gerudi.


OBJEKTIF KHUSUS

 Mengenali bahagian utama dan fungsi gerudi pintal.
 Mengetahui cara menentukan saiz gerudi.
 Mengenali bahan membuat gerudi.
 Mengetahui kaedah menanda sebelum menggerudi.
 Memahami cara memasang mata gerudi dan benda kerja sebelum menggerudi.
 Membezakan jenis-jenis mata gerudi.
 Mengetahui cara mencanai dan mengasah sebatang gerudi pintal.
 Mengetahui kesan pada lubang jika mata gerudi tidak dicanai dengan betul.
 Menamakan bahagian-bahagian mesin gerudi.
 Mengira kelajuan pusingan pengumpar(PPM),kadar suapan dan factor pemilihan kelajuan pemotongan.
 Mengenali jenis-jenis penyejuk, fungsi dan kegunaannya.
 Mengetahui langkah penjagaan mata gerudi dan mesin gerudi.
 Mengetahui langkah keselamatan semasa menggerudi.
 Memahami kepentingan memegang benda kerja dengan kemas semasa menggerudi.
 Mengenali jenis pemegang benda kerja pada mesin gerudi.
 Mengetahui kaedah menggerudi lubang besar.
 Memahami kepentingan menggerudi pusat dan lubang pandu.
 Mengetahui kegunaan jigs dan langkah yang perlu diberi perhatian semasa menggerudi.




5.0 PENGENALAN


Gerudi ialah yang digunakan untuk membuat lubang diatas permukaan logam. Proses menggerudi lubang biasanya dibyat dengan menggunakan mesin gerudi atau mesin larik. Gerudi diperbuat daripada keluli taha lasak dan tungsten karbida


MATA GERUDI DAN MESIN GERUDI


5.1 Bahagian utama dan fungsi gerudi pintal.

Gerudi pintal biasanya digunakan dalam bengkel mesin untuk kerja-kerja am. Ia mempunyai dua lurah heliks yang sama dan bertentangan kedudukan pada garis pusatnya. Hujung matanya berbentuk kon dan dicanai supaya dapat menghasilkan sudut pemotong dan sudut kelegaan . Terdapat juga gerudi pintal yang digunakan untuk kerja-kerja khas iaitu:


(a) Gerudi pintal tiga lurah atau empat lurah
(b) Gerudi pintal sudut heliks rendah dan sudut heliks tinggi

Bentuknya sama dengan gerudi pintal biasa, kecuali sudut heliknya sama ada lebih kecil atau lebih besar daripada sudut heliks biasa. Sudut heliks biasa ialah 30º. Keistimewaannya ialah ia sesuai untuk menggerudi logam tempawan dan logam liat. Selain, itu gerudi ini juga menghasilkan lubang yang dalam. Gerudi pintal sudut heliks rendah pula sesuai untuk menggerudi bahan-bahan plastik, gentian (fiber), asbestos, bakelit dan logam-logam tiruan yang lain.



Badan terletak diantara hujung mata dengan batang. Ia terdiri daripada :

(a) Hujung mata

Hujung mata ialah bahagian hujung yang berbentuk kon, biasanya dicanai dengan sudut kandung 118º, bibir pemotong membahagi dua sudut kandung ini dengan masing-masing membentuk sudut 59º dari paksi. Panjang hujung mata biasanya 1/3 daripada garis pusat gerudi.

(b) Pusat mata

Pusat mata menyerupai mata pahat yang tajam yang terbentuk daripada pertemuan bibir-bibir pemotong. Fungsi pusat mata ialah untuk mencungkil dan memudahkan gerudi masuk kedalam permukaan logam.

(c) Bibir pemotong

Bibir pemotong atau bibir pengerat bertindak sebagai mata gerudi. Ia terbentuk daripada pertemuan lurah-lurah dengan hujung permukaan berbentuk kon. Bibir pemotong ini dibuat sama panjang.

(d) Lurah

Lurah terdapat disepanjang bahagian badan.fungsinya ialah:
(i) Untuk membentuk tepi pemotong atau bibir pemotong pada hujung berbentuk kon.
(ii) Untuk membentuk lorong-lorong bagi tatal keluar.
(iii) Untuk membolehkan bendalir pemotong sampai kehujung mata.
(iv) Untuk memudahkan tatal keluar melalui ruang yang sempit.

(e) Lengkang lurah

Ia merupakan tebing yang memisahkan lurah. Lengkang lurah dianggap sebagai tulang belakang gerudi ldan lebih tebal dibahagian pangkal supaya gerudi menjadi lebih tegap.


(f) Jidar

Jidar merupakan tebing sempit yang menonjol disepanjang lurah. Gunanya ialah untuk memberi telusan kepada badan semasa menggerudi, dengan itu gerudi tidak bergesel. Geseran ini boleh mendatangkan kepanasan yang cepat dan menghilangkan baja ataupun boleh menyebabkan gerudi tersepit.
BATANG
Bahagian gerudi yang masuk kedalam spindal mesin melalui cuk gerudi atau liang sendi yang dinamakan batang. Batang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

(a) Batang Lurus

Batang lurus khusus untuk gerudi kecil yang bersaiz 13 mm atau kurang. Biasanya ia dipegang dalam cuk gerudi.


(b) Batang Tirus

Batang tirus pula khusus untuk gerudi besar yang mempunkyai saiz lebih daripada 13 mm . Batang jenis ini boleh menetapkan kedudukannya sendiri. Ia boleh ;dipasang pada spindal mesin melalui liang sendi atau soket bagi menyesuaikan saiz. Batang gerudi dan lubang spindal mesin serta lubang liang sendi masing-masing mempunyai tirusan Morse.

PUTING

Puting berbentuk nipis, etrletak dibahagian pangkal gerudi. Puting terdapat pada gerudi batang titus sahaja. Fungsi puting ialah untuk memudahkan gerudi diputar kerana puting boleh masuk kedalam alur yang terdapat di dalam lubang spindal mesin atau soket atau liang sendi. Gerudi batang tirus boleh ditanggalkan dari spindal dengan mudah menggunakan alat perenggang.



5.2 CARA MENENTUKAN SAIZ GERUDI


Saiz gerudi terdapat dalam empat sistem ukuran iaitu:

A) Saiz Dalam Sistem Metrik

Bagi gerudi jenis kecil, saiznya ialah daripada 0.04 mm hingga 0.09 mm dalam langkauan 0.01 mm. Sementara saiz gerudi biasa ialah daripada 0.5 mm hingga 20mm bagi jenis batang lurus dan 8 mm hingga 80 mm bagi jenis batang tirus.

B) Saiz Dalam Sistem Pecahan

Gerudi mempunyai julat saiz daripada 1/64 inci hingga 3 ¼ inci dalam langkauan 1/64 inci atau 1/32 inci.

C) Saiz Dalam Sistem Angka

Dalam sistem ini, saiz diberi dengan angka 1 atau bersamaan dengan 0.228 inci hingga angka 97 atau 0.0059 inci.

D) Saiz Dalam Sistem Huruf

Gerudi juga mempunyai saiz daripada huruf A hingga Z. Gerudi yang bersaiz A merupakan saiz yang paling kecil dalam set gerudi iaitu 0.234 inci manakala saiz Z pula merupakan saiz yang paling besar iaitu 0.413 inci.

E) Cara Menguji Saiz Gerudi

Saiz gerudi boleh diuji atau diukur dengan tolok gerudi. tolok ini juga boleh didapati dalam semua sistem saiz gerudi. Saiz gerudi juga boleh diukur dengan mikrometer. ukuran hendaklah dibuat merentasi jidar gerudi. Selain menguji ataupun mengukur saiz gerudi dengan menggunakan alat yang disebutkan tadi,saiz gerudi juga ditandakan pada bahagian batangnya. Bagaimanapun, tanda ini selalunya hilang apabila gerudi itu selalu digunakan.


5.3 BAHAN MEMBUAT GERUDI

Gerudi digunakan untuk menebuk lubang bulat pada permukaan benda kerja yang mempunyai jenis bahan yang berbeza. Oleh itu saiz dan bahan mata gerudi dibuat bebeza-beza untuk membuat berbagai jenis proses, dimana kebiasaannya saiz gerudi kecil diperbuat daripada keluli tahan lasak (high speed steel) manakala bagi gerudi yang besar bahannya diperbuat daripada keluli berkarbon tinggi (high karbon steel) atau tungsten karbida.

5.4 KAEDAH MENANDA SEBELUM MENGGERUDI

Langkah-langkah yang berikut perlu diikut bagi mendapatkan kedudukan lubang yang tepat.

i) Tandakan pusat lubang dengan penebuk cucuk.

ii) Buat dua bulatan, satu daripadanya mengipkut saiz lubang dan lyang satu lagi kecil sedikit (Rajah 5.32). tujuannya ialah supaya pemotongan yang dibuat oleh mata gerudi dapat dilihat dengan mudah.

iii) Tebuk pusat lubang tadi dengan penebuk pusat.

iv) Hidupkan mesin dan pastikan ;mata gerudi betul-betul diatas pusat lubang.

v) Periksa sama ada gerudi berputar sepusat atau tidak sepusat. Cara mengujinya ialah dengan melihat kesan mata gerudi, sama ada diatas pusat lubang atau terkeluar dari pusat lubang .

vi) Sekiranya pemotongan terkeluar dari pusat lubang, maka pusat lubang hendaklah diperbetulkan dengan cara membuat satu l;engkang lurah atau alur dengan menggunakan pahat mata bulat . ini bermakna kedudukan pusat diubah.



5.5 CARA MEMASANG MATA GERUDI DAN BENDA KERJA SEBELUM MENGGERUDI

Untuk mendapatkan satu proses menggerudi yang baik dan kerja-kerja yang berkaitan dengan mesin gerudi, salah satu factor ialah mata gerudi dan benda kerja mestilah diikat atau dipasang dengan betul.berbagai bentuk dan jenis alatan tambahan yang digunakan untuk mengikat, dibuat bersesuaian dengan benda kerja.
Bagi memasang gerudi batang lurus yang bersaiz kecil khususnya yang bersaiiz 13 mm atau lebih kecil darinya, biasanya dipegang dalam cuk gerudi. Manakala gerudi batang tirus khususnya untuk gerudi besar yang mempunyai saiz lebih daripada 13 mm, ia boleh dipasang terus pada spindal mesin melalui liang sendi atau soket . Gerudi batang tirus boleh ditanggalkan dari spindal dengan mudah menggunakan alat perenggang (Lihat Rajah 5.13).
Penggunaan ragum atau pengikat yang sesuai dengan proses kerja menggerudi adalah salah satu faktor menghasilkan proses kerja yang baik, dan mengikat benda kerja dengan baik juga salah satu factor untuk mendapatkan hasil kerja yang baik. Berikut adalah kaedah mengikat benda kerja pada ragum gerudi :


1. Bersihkan ragum mesin dengan kain dan pastikan tidak ada kekotoran atau tatal melekat pada ragum.

2. Pilih sepasang bilah selari yang sesuai tingginya dan bersihkannya.

3. Kikir tipi bahan kerja yang tajam sebelum memasang di dalam ragum.

4. Letakkan bahan kerja diatas bilah selari dan pastikan bahagian yang hendak hendak digerudi atau yang bertanda berada disebelah atas.

5. Ikat rgum kuat dengan tangan. Jangan guna pengetuk untuk mengikat ragum.

6. Dengan menggunakan pengetuk lembut atau gandin, ketuk dengan perlahan-lahan keempat-empat penjuru sehingga bilah selari tidak bergerak.

7. Sekarang operasi menggerudi boleh dijalankan tetapi pastikan ragum diikat pada meja mesin gerudi supaya benda kerja tidak bergerak semasa proses menggerudi dijalankan.

5.6 PERBEZAAN JENIS-JENIS GERUDI
Gerudi dibuat berbagai-bagai jenis dan bentuk supaya bersesuaian dengan kerja yang dilakukan dan mempercepatkan lagi kerja-kerja diindustri pengeluaran. Diantara jenis-jenis gerudi yang biasa digunakan ialah :
1. GERUDI PINTAL (TWIST DRILL)
Bentuknya seakan-akan suatu benda yang dipintal. Pintalan ini adalah dari dua laluan lurah yang berbentuk helik melalui sepanjang badan gerudi. Gerudi ini digunakan dalam kerja-kerja umum.
2. GERUDI BERGABUNG/GERUDI PUSAT (COMBINATION & COUNTERSINK/CENTRE DRILL)
Mempunyai dua hujung dan dua pembenam yang bersudut kandung 60º dan hujung 118º. Digunakan untuk menggerudi hujung bahan pada mesin pelarik supaya dapat disokong oleh tetengah pelarik dan untuk membuat lubang benam yang kecil serta boleh juga membuang tajam pada hujung lubang yang telah digerudi. Gerudi ini dibuat dalam dua arah , arah kiri dan arah kanan.
3. GERUDI HUJUNG RATA
Bentuk hujung yang rata pada gerudi ini digunakan untuk meratakan bahagian dalam lubang buntu supaya berbentuk tepat 90º.
4. GERUDI PIPIH (FLAT DRILL)
Bentuk hujung gerudi ini pipih dan bersudut 45º. Digunakan untuk menebuk
lubang yang besar dalam kerja-kerja melarik.
5. GERUDI LUBANG BENAM (COUNTERSINK DRILL)
Gerudi ini berukuran besar pada hujung dan kecil pada batang. Hujung gerudi ini bersudut 60º. Digunakan untuk membuat lubang benam bagi membenamkan skru kepala benam dan rivet kepala benam. Ia juga boleh digunakan untuk membuang segi pada hujung lubang yang telah digerudi.
6. GERUDI LUBANG SENGGAT (COUNTERBORE DRILL)
Gerudi ini mempunyai dua tingkat garispusat. Satu bagi pemotong dan dihujung terdapat satu batang pemandu untuk menahan batang gerudi semasa menggerudi. Digunakan untuk melubang tingkat bagi membenamkan kepala nat atau kepala pasak.
7. GERUDI LURAH LURUS (STRIGHT FLUTED DRILL)
Bentuk lurah gerudi ini lurus sahaja. Digunakan untuk melubang pada bahan yang lembut seperti aluminium dan juga bahan yang nipis.
8. GERUDI LUBANG MINKYAK (OIL HOLE DRILL)
Bentuk gerudi ini sama dengan gerudi pintal. Pada bahagian badan gerudi ini terdapat saluran ;minyak yang terus keluar ke bahagian hujung, ini bertujuan minyak dapat disalurkan terus kedalam permukaan lubang. Ini dapat mengelakan kepanasan pada benda kerja. Gerudi ini digunakan dalam perindustrian yang berat.
9. GERUDI LURAH BANYAK (MULTIPLE FLUTE DRILL)
Bentuk gerudi ini sama dengan gerudi pintal tetapi lurah yang memintal pada badan gerudi ini adalah lebih dari dua. Digunakan dalam kerja-kerja berat.
10. GERUDI BERTANGGA (STEP DRILL)
Benktuk gerudi ini sama seperti gerudi pintal tetapi ianya mempunyai dua ukuran garispusat. Gerudi ini digunakan dalam kerja-kerja besar dan pengeluaran.
GAMBAR N10
5.7 CARA MENCANAI DAN MENGASAH SEBATANG GERUDI PINTAL
Untuk mencanai dan mengasah sebatang gerudi pintal faktor penting yang perlu diambil kira ialah sudut-sudut yang hendak dicanai. Terdapat tiga jenis sudut yang harus diberi perhatian iaitu :
1. Sudut Pemotong
2. Sudut Kelegaan Bibir Pemotong
3. sudut Heliks.
1. SUDUT PEMOTONG
Sudut pemotong bagi gerudi biasa ialah 59º dari paksi iaitu membahagi dua sudut kandung mata gerudi. Jika sudut ini dicanai dengan betul maka, dengan sendirinya bibir pemotong menjadi sama panjang, jika tidak, lubang yang dihasilkan menjadi besar. Bukaan sudut pemotong ini boleh diuji dengan tolok sudut gerudi (Lihat Rajah 5.14).
RAJAH 5.14
Bukaan sudut pemotong adalah berbeza-beza iaitu bergantung pada jenis logam yang hendak digerudi. Sudut yang lazim digunakan ditunjukan dalam rajah 5.15. Bagi logam keras, sudut pemotongannya lebih besar, tetapi bagi logam lembut sudutnya lebih kecil. (Lihat Jadual 5.1).
RAJAH 5.15

2. SUDUT KELEGAAN BIBIR PEMOTONG
Sudut kelegaan bibir pemotong tebentuk dengan mencanaikan permukaan belakang hingga ke tumit tepi pemotong. Fungsi sudut kelegaan ini ialah supaya permukaan hujung mata tidak bergesel dengan benda kerja. Sebagaimana sudut pemotong, sudut kelegaan bibir pemotong juga berbeza-beza, bergantung pada jenis bahan yang hendak digerudi (Lihat Jadual 5.1).





Untuk jerja-kerja am, sudut kelegaan dicanai antara 8º hingga 12º. Bukaan sudut yang terlalu besar boleh menyebabkan hujung mata gerudi patah kerana tidak cukup sokongan.(Lihat Rajah 5.16).

3. SUDUT HELIKS
Sudut heliks adalah tetap dan tidak dapat diubah dengan cara mencanai kerana ia telah sedia dibentuk semasa membuat gerudi. Sudut heliks tinggi digunakan untuk menggerudi logam keras dan teguh,
sementara sudut heliks rendah digunakan untuk menggerudi logam lembut. Sudut heliks biasanya 30º.



5.8 KESAN PADA LUBANG JIKA MATA GERUDI TIDAK DICANAI DENGAN BETUL

Pembentukan hujung mata gerudi yang betul adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian semasa mencanai mata gerudi. Ini termasuklah mencanai sudut pemotong yang sama besar bukaan dari paksi, bibir pemotong yang sama panjang, ;sudut kelegaan bibir pemotong yang munasabah serta menipiskan lengkang lurah dengan betul. Keempat-empat faktor diatas boleh mempengaruhi kerja menggerudi serta hasilnya dari segi :

1. Mengawal saiz dan mutu sudahan lubang
2. Mengawal tatal atau saiz dan pembentukannya
3. Mengawal cara tatal keluar
4. Menguatkan tepi pemotong supaya tidak cepat haus
5. Mengurangkan geseran dan kepanasan

Berikut ini diterangkan lima jenis kesilapan yang sering berlaku semasa mencanai bibir pemotong serta kesan daripada kesilapan tersebut, iaitu :

(a) SUDUT PEMOTONG SAMA BESAR TETAPI PANJANG BIBIR PEMOTONG BERBEZA
Pusat mata sama letaknya dengan paksi tetapi hanya satu lurah sahaja yang boleh memotong bahan. Akibatnya lubang lakan menjadi besar.

(b) PANJANG BIBIR PEMOTONG SAMA TETAPI BUKAAN SUDUT PEMOTONG BERBEZA

Ini mengakibatkan pusat mata terkeluar dari paksi, hanya satu lurah yang bekerja dan lubang menjadi besar akibat putaran hanya pada pusat mata. Seterusnya gerudi akan bergoncang dan ini boleh mengakibatkannya patah.

(c) KEDUA-DUA SUDUT DAN PANJANG BIBIR PEMOTONG TIDAK SAMA

Pusat mata terkeluar dari paksi, hanya lurah yang bekerja, gerudi berputar pada pusat mata dan ini menyebabkan lubang menjadi besar.


(d) SUDUT KELEGAAN BIBIR PEMOTONG YANG TERLALU BESAR DAN TERLALU KECIL

Hujung mata boleh patah sekiranya sudut kelegaan terlalu besar kerana tidak cukup sokongan, sebaliknya jika sudut kelegaan terlalu kecil, geseran akan berlaku, ini mengakibatkan permukaan hujung mata menjadi cepat panas, beban gerudi bertambah kerana gerudi sukar masuk kedalam benda kerja. Ini akan menghasilkan penyudahan kerja yang tidak memuaskan dan kemungkinan juga gerudi akan patah.


(e) LENGKANG LURAH YANG DINIPISKAN TIDAK SEIMBANG TEBALNYA DARI PAKSI GERUDI

Lengkang lurah harus dinipiskan sekiranya gerudi semakin pendek, ini adalah kerana lengkang lurah semakin tebal arah ke pangkal. Jika lengkang lurah dicanai tebal sebelah, ia boleh menyebabkan kesepusatan lengkang lurah dan garis pusat luar gerudi tidak tepat. Pusat mata yang tidak beranjak dari paksi mungkin menyebabkan gerudi berputar belong/gelong.


5.9 NAMA BAHAGIAN-BAHAGIAN MESIN GERUDI

Terdapat berbagai-bagai jenis mesin gerudi pada masa kini yang biasa digunakan dibengkel mesin dimana kebanyakannya menggunakan kuasa letrik samaada ianya jenis mudah alih atau jenis tetep, diantaranya ialah :

1. Mesin gerudi tangan (hand drill)
2. Mesin gerudi tangan mudahalih (protable electric drill)
3. Mesin gerudi meja (bench drilling machine)
4. Mesin gerudi jenis tiang (biliar drilling machine)
5. Mesin gerudi jenis turus (column type drilling machine)
6. Mesin gerudi jejarian (radial arm drilling machine)
7. Mesin gerudi gandar berkumpulan (gang spindle drilling machine)
8. Mesin gerudi banyak gandar (multi spindle machine)


Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis mesin gerudi pada masa kini nanum konsep asas dan bahagian-bahagian utama mesin gerudi adalah sama. Gambarajah mesin gerudi dibawah menunjukkan nama-nama bahagian pada sesebuah mesin gerudi.


5.10 PENGIRAAN KELAJUAN PUSINGAN PENGUMPAR (PPM), KADAR SUAPAN DAN FAKTOR PEMILIHAN KELAJUAN PEMOTONGAN

Kelajuan pemotongan ialah pangjang ukuran lilitan mata gerudi dalam ukuran meter yang dikira apabila ia berputar dalam masa satu minit.
Sebagai contoh, keluli lembut mempunyai kelajuan pemotongan 30 meter per minit, ini bermakna spindal mesin perlu berputar supaya ukuran lilitan mata gerudi itu 30 meter dalam masa satu minit. Oleh sebab mata gerudi terdiri daripada berbagai-bagai saiz, maka spindal juga mempunyai berbagai-bagai tingkat kelajuan.
Bilangan putaran spindal yang perlu untuk mendapatkan kelajuan memotong yang betul disebut putaran per minit (PPM). Pada amnya gerudi kecil memerlukan bilangan putaran yang lebih banyak dalam satu minit berbanding dengan gerudi besar. Untuk menghitung kelajuan spindal, perkara-perkara berikut perlu diketahui :

1. Kelajuan memotong bahan
2. Garis pusat mata gerudi


Formula
Untuk menghitug putaran per minit
Putaran per minit (PPM) = Kelajuan memotong (meter per minit)
π X Garis pusat (milimeter)
Unit meter perlu ditukarkan kepada unit milimeter, oleh itu
Putaran per minit (PPM) = Kelajuan memotong X 1000
π X Garis pusat
iaitu, (PPM) = KP X 1000
πD


Contoh 5.1
Hitung kelajunan spindal yang sesuai dalam putaran per minit untuk menggerudi lubang yang bergaris pusat 15 milimeter diatas sekeping keluli lembut dengan menggunakan gerudi tahan lasak. Kelajuan memotong yang digunakan ialah 30 meter per minit.
PPM = KP X 1000
πD
PPM = 30 X 1000
3.142 X 15
= 636

Contoh 5.2
Hitung kelajuan spindal yang sesuai dalam putaran per minit untuk menggerudi lubang yang bergaris pusat 35 milimeter pada sekeping keluli lembut dengan kelajuan memotong 25 meter seminit. Mata gerudi yang digunakan ialah sejenis keluli tahan lasak.
PPM = KP X 1000
πD
PPM = 25 X 1000
3.142 X 35
= 227.2


HANTARAN
Hantaran ialah panjang juluran mata gerudi yang masuk ke dalam benda kerja pada tiap-tiap satu putaran penuh spindal.
Kadar hantaran adalah penting untuk menentukan hayat mata gerudi. Jika terlalu laju, mungkin tepi pemotongnya pecah, sebaliknya jika terlalu perlahan, hujung mata bergesel dan cepat menjadi panas.


Formula
Untuk menghitung anggaran masa menggerudi
Anggaran masa menggerudi = P
H X PPM
Dimana, d = Dalam lubang
P = Panjang juluran mata gerudi ( Dalam lubang + panjang hujung
mata )
= d + ( 0.3 X D )
D = Garis pusat gerudi dalam milimeter
PPM = Putaran per minit
H = Hantaran pemotong mata gerudi dalam mm per putaran



Contoh 5.3
Kira masa yang diambil untuk menggerudi satu lubang yang bergaris pusat 15 mm dan 52 mm dalam. Kadar hantaran pemotong ialah 0.23 mm dan kelajuan spindal ialah 320.
Anggaran masa menggerudi = P
H X PPM
= 52 + ( 0.3 X 15 )
0.23 X 320
= 56.5
0.23 X 320
= 56.5
73.6
= 0.77 minit atau 46 saat


FAKTOR-FAKTOR PEMILIHAN HANTARAN DAN KELAJUAN
Berikut ialah beberap faktor pemilihan kelajuan spindal :


1. Jenis dan keadaan mesin.
2. Ketepatan dan penyudahan kerja.
3. Kuatnya atau tegapnya benda kerja dipegang dalam mesin.
4. Penggunaan bendalir pemotong.
5. Jenis bahan
6. Bahan mata gerudi


5.11 JENIS-JENIS PENYEJUK, FUNGSI DAN KEGUNAANNYA

Bendalir pemotong menjadi unsur yang sangat penting dalam operasi pemesinan seperti melarik, mencanai, meraut, menggerudi, menggerudi, melulas, membenang ( dalam dan luar ), memotong bahan, kerja-kerja tekan dan sebagainya.
Sebab utama bendalir pemotong digunakan dalam kerja menggerudi ialah untuk membebaskan haba daripada gerudi dan benda kerja. Tindakan geseran antara mata pemotong dengan tatal yang dirincih menghasilkan haba yang boleh menyebabkan tepi mata pemotong melekat seterusnya boleh memecah atau mematahkan gerudi tersebut. Keadaan ini menghasilkan permukaan lubang yang tidak baik dn kerja yang tidak tepat.
Bendalir pemotong boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, antaranya ialah :


1. Minyak pemotong atau minyak galian.
Tiga jenis minyak galian yang aktif :
(a) Minyak galian bersulfur
(b) Minyak galian sulfur berklorin
(c) Minyak galian berlemak
Tiga jenis minyak galian yang tak aktif :
(a) Minyak galian biasa.
(b) Minyak galian lelemak.
(c) Minyak galian lelemak bersulfur.
2. Minyak boleh larut.
Tiga jenis minyak boleh larut :
(a) Minyak galian boleh larut.
(b) Minyak boleh larut lelemak tinggi.
(c) Minyak boleh larut tekanan lampau.
3. Bendalir pemotong tiruan atau kimia.
4. Penyejuk khas.


FUNGSI BENDALIR PEMOTONG

Terdapat berbagai-bagai fungsi bendalir pemotong antaranya ialah :

1. Untuk menyejukkan tepi mata pemotong.
2. Untuk menyejukkan benda kerja.
3. Mengurangkan geseran yang berlaku antara gerudi denlgan gerudi.
4. Membantu memecahkan tatal.
5. menghindar tatal dari melekat ditepi jidar atau bibir pemotong.
6. Untuk mengeluarkan serpihan-serpihan tatal.



KEBAIKAN MENGGUNAKAN BENDALIR PEMOTONG

1. Menjimatkan kos gerudi. Penggunaan bendalir pemotong menyebabkan gerudi lambat haus dan tahan lama, dan dapat menjimatkan masa mengasah gerudi.

2. Meningkatkan produktiviti. Penggunaan bendalir pemotong membolehkan kelajuan mesin yang tinggi digunakan, dan kerja-kerja dapat dijalankan dengan lebih pantas lagi.

3. Menjimatkan tenaga. Disebabkan geseran dapat dikurangkan, mesin-mesin tidak menggunakan tenaga yang berlebihan.
4. Meningkatkan mutu. Gerudi dapat melakukan pemotongan dengan baik dan berkesan dan boleh menghasilkan sudahan kerja yang baik dan kerja yang tepat.

5. Menjimatkan tenaga buruh. Kerja-kerja menukar alat, dan mengasah mata alat dapat dikurangkan.


5.12 LANGKAH MENJAGA MATA GERUDI DAN MESIN GERUDI


i. Mata gerudi hendaklah disimpan dalam kotak penyimpan mata gerudi setiap
kali selepas ianya digunakan.
ii. Mata gerudi hendaklah sentiasa diminyakan untuk mengelakkan ianya berkarat.
iii. Gunakan kelajuan yang betul mengikut jenis-jenis logam yang hendak digerudi.
iv.Mata gerudi hendaklah dicengkam dengan kuat pada ‘chuck’ dan jangan sekali-
kali mencengkam terlalu hampir dengan hujung lurah. Ini boleh menyebabkan
mata gerudi mudah patah.


5.13 LANGKAH KESELAMATAN SEMASA MENGGERUDI

Mesin gerudi perlu dikendalikan dengan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh berlaku semasa mengendalikan proses menggerudi. Berikut adalah beberapa panduan yang perlu diikuti semasa menggunakan mesin gerudi.

1. gunakan pakaian yang selamat dan sentiasa menggunakan cermin mata keselamatan.
2. pastikan kawasan sekeliling mesin bersih dan tidak menyebabkan jurumesin terjatuh. Bersihkan minyak, bendalir pemotong dan tatal pada lantai.
3. pastikan hanya seorang jurumesin yang bekerja sewaktu mesin beroperasi.
4. gunakan berus dan bukannya kain untuk membersihkan tatal selepas mata gerudi berhenti.
5. pastikan mata gerudi dengan benda kerja mempunyai ruang kelegaan sebelum memulakan kerja.
6. pastikan spindal tidak berputar semasa kerja pengukuran atau pengujian dilakukan
7. matikan suis ketika menukar mata gerudi dan selepas operasi menggerudi dilakukan.

1 comment:

song jean yau said...

SONG JEAN YAU 14PKM08F1010

Pertama sekali,saya nak berterima kasih kpd EN.FAIZ krn mendapat mewujudkan blog ini untuk pelajar-pelajar mekanikal yang amat memerlukan maklumat dan pengetahuan yang begini.

Blog ini boleh dikatakan untuk lebih mudah difahami oleh pelajar-pelajar yang ambil subjek ini , selain daripada itu , ia berdasarkan gambar-gambar yang jelas dan penjelasan yang penting untuk lebih mudah difahami berbanding dalam modul.kalau semua subjek yang dalam mekanikal dapat membuat blog macan begini, ia lagi bagus...kalau bahagian mesin larik dapat membuat penjelasan berdasar gembar-gambar setiap bahagian lagi bagus,dengan memasuki blog begini memang jimat masa bagi seorang pelajar, tak payah susah-sudah cari malumat lain kat internet., Untuk subjek workshop , gambar-gambar ialah amat penting untuk seorang pelajar , sebab kalau kita dah lihat gambar-gambar kita boleh lebih mudah dan senangi untuk memahamkannya.

Dari keseluruhannya saya amat berterima kasih kpd EN. FAIZ dengan mewujudkan blog ini utk bantu menyenangkan pelajar utk belajar.